Petikan Artikel Agama , Sunnah Dan Hukum
1- Status Program Derma Wang Pos
Oleh: Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
SOALAN
Saya nak tanya tentang suatu pelaburan yang berbentuk piramid. Baru-baru ini saya ada masuk, modalnya cuma RM30.00. Caranya ialah dengan membeli wang pos berjumlah RM5.00 setiap satu dan enam keping. Setiap satunya hendaklah ditulis dengan nama si penerima 'di atas' kita dan ini merupakan sumbangan ikhlas daripada kita. Kemudian setelah nama kita tersenarai, kita mencari ahli-ahli baru pula di bawah dan giliran kita pula mendapat sumbangan RM5.00 daripada ahli di bawah. Dalam masa sebulan berbelas-belas keping wang pos yang diterima yang berjumlah beratus-ratus ringgit.
Soalannya, apakah hukum menerima duit tersebut? Pelaburannya cuma RM30.00 tetapi pulangannya agak lumayan. Ia juga adakalanya dinamakan sebagai ta'awun atau tolong menolong.
JAWAPAN
Setelah membaca penerangan saudara di atas. Jelas kepada saya bahawa ia adalah pelaburan yang tidak halal di sisi Islam. Ia juga bukanlah pelaburan.
Ini kerana rukun pelaburan islam di bawah konsep mudarabah dan musharakah adalah: -
· Wang pelaburan dalam jumlah tepat dan diketahui
· Pelabur
· Pengusaha
· Bisnes yang halal / Pekerjaannya
Antara syarat sahnya pula :-
· Nisbah pembahagian keuntungan yang dipersetujui bersama.
· Tiada jaminan modal selamat.
· Tiada jaminan untung tertentu atau tidak tertentu.
Jika dilihat, salah satu rukun dalam pelaburan Islam atas asas mudarabah dan musyarakah adalah mestilah mempunyai satu perniagaan yang halal serta terbuka kepada untung dan rugi.
Dalam kes yang dirujuk saudara, duit pelabur (peserta iaitu dalam bentuk wang pos itu) adalah untuk melabur dalam perniagaan itu..tetapi tiada perniagaan tertentu, malah pelaburan itu pula dianggap sumber mendapat untung, atau dalam kata lain, 'pelaburan' atau duit penyertaan terkumpul itu adalah dianggap bisnes dan keuntungannya, lalu manakah perniagaannya sebagaimana yang disyaratkan? apa produknya? mana pula "profit sharing ratio" nya? ..maka ini jelas tidak menepati rukun pelaburan dalam Islam.
Menjual pusingan ahli yang menyertai dan sistem piramid adalah tidak diterima oleh Islam walaupun ia cuba berselindung di sebalik nama ‘ta'awun' (kerjasama), sedeqah, tolong menolong dan sebagainya.
ELEMEN RIBA
Selain itu, proses ini juga mempunyai elemen riba di dalamnya, ini adalah kerana setiap pihak yang ‘menderma' memasuki sistem dengan niat, harapan serta janji oleh pihak pengurusan bahawa mereka mendapat derma berbentuk wang dengan nilai yang lebih banyak dari apa yang diberinya.
Di dalam Fiqh Islam, seseorang yang menderma tidaklah boleh mensyaratkan kepada penerima atau mana-mana pengurus sistem untuk mengembalikan sejumlah wang semula kepadanya, khususnya yang lebih besar. Jika ini berlaku, sifat hadiah tadi akan berubah kepada daripada hadiah yang biasa kepada ‘hibah at-thawab' atau ‘hadiah bersyarat pulangan' (hibah bisyarti ‘iwad) yang mana keadaan ini akan mengubah sifat kontrak asal derma iaitu ‘tabarru'at' kepada sifat jual beli iaitu ‘mu'awadah maliah'.
Apabila ia telah berubah menjadi sifat jual beli, Islam mengharamkan pertukaran wang dengan wang yang berbeza nilainya dan bertangguh pula. Selain itu, sifat jual beli mewajibkan agar semua rukun dan syaratnya ditepati dan jelas seperti subject matter, tempoh, nilai, pihak yang bertransaksi dan lain-lain.
Dalam program derma wang pos ini, kebanyakannya tidak diketahui, seperti bila tempoh dapat semula wang, berapa nilainya, siapa pihak di sebelah sana yang sedang berurusan dengannya dan banyak lagi. Hasil dari itu, konsep ta'awun atau banu membantu melalui sistem wang pos piramid ini tergolong dalam kategori yang bermasalah dari sudut rukun jual beli dan juga jatuh dalam kategori riba.
ELEMEN JUDI, GHARAR DAN MAKAN HARTA SECARA BATIL.
Selain dari tergolong dalam kategori riba atau syubhat riba, ia juga mempunyai elemen judi kerana peserta tidak pasti wang yang telah diderma akan mampu membawa pulangan wang yang lebih banyak atau tidak di kemudian hari, namun harapannya sentiasa berkobar untuk mendapat ‘derma' yang lebih banyak. Tatkala itu, definisi judi, spekulasi dan gharar, ketiga-tiganya wujud di dalam permainan ini.
Berdasarkan huraian sahabat besar, Ibn Abbas r.a semasa menghuraikan ayat dari surah An-Nisa:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلاَّ أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ وَلاَ تَقْتُلُواْ أَنفُسَكُمْ إِنَّ اللّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا
Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama-suka di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu." ( An-Nisa : 29)
Beliau menafsirkan salah satu dari erti makan harta secara batil, palsu dan tidak sahit adalah
أخذ المال بغير عوض
"mengambil harta tanpa sebarang balasan kerja yang setimpal" (Rujuk Tafsir at-Tabari, Ar-Razi)
Selain itu, terdapat juga athar yang disandarkan kepada Ibn Abbas dimana beliau berkata
"Riba adalah setiap hadiah yang mensyarat pulangan lebih besar dari pemberiannya" (Al-Jami' fi Usul al-Riba)
Imam Fakhruddin Ar-Razi menambah penjelasan di dalam kitab tafsirnya dengan berkata :
أن الربا يقتضي أخذ مال الإنسان من غير عوض، لأن من يبيع الدرهم بالدرهمين يحصل له زيادة درهم من غير عوض
Ertinya : Sesungguhnya riba ia beerti mengambil harta manusia tanpa sebarang timbale kerja atau nilai, sebagaimana seseorang yang menjual satu wang dirham dengan mengambil dua dirham, si penjual memperolehi tambahan satu dirham tanpa sebarang perantara kerja dan nilai tambah (Rujuk Tafsir Al-Kabir dalam tafsir ayat 29 surah An-Nisa)
Maka inilah sifat program derma wang pos, yang jelas jatuh dalam erti mengambil harta orang lain tanpa kerja yang setimpal, pemberian yang setimpal. Program ini amat sama dengan tabiat Riba, iaitu wang dipaksa melahirkan wang yang lain tanpa sebarang perantara aset dan kerja yang menambah nilai kepada ekonomi setempat.
Itu berlaku apabila wang diderma dan mengharap pulangan derma dari yang lain kepadanya. Apakah nilai pertumbuhan yang dihasilkan selain menambahkan ketamakan dan menghilangkan pahala dari sesebuah derma? Bukankah itu sama sahaja dengan sifat riba?, sama seperti meminjamkan wang dan menerima pulangan yang lebih darinya tanpa sebarang kerja yang setimpal dan tiada pula aset yang diniagakan.
Ringkasnya, sistem derma wang pos atas apa juga nama yang digunakan adalah sama seperti sistem piramid yang mengambil keuntungan di atas jumlah orang yang masuk di dalam sistem. Daripada bentuk yang saudara berikan, ia jelas diharamkan oleh sebab, syubhat riba, elemen judi, gharar dan juga makan harta secara batil.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
18 Syawal 1430 H
7 Oktober 2009
2 - Komisyen Ejen Insuran, Takaful & Saham Amanah
Oleh : Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Soalan
Tolong uzar jelaskan. Jangan sampai ramai agen Islam termakan duit riba atau sebagainya. Tolong buat kajian terperinci tentang komisen yang agen dapat. Ramai agen yang rasa selesa dengan apa yang mereka dapat, komisen tetapi hukumnya di sisi Allah tanggung jawab uzar juga.
-SOALAN MELALUI RUANGAN KOMENTAR-
Jawapan
Pertamanya, saya telah jelaskan hukum bekerja untuk promosi benda haram atau membantu secara direct akan apa jua yang haram adalah haram, saya telah di pelbagai tempat di web saya. Maka, jika orang tidak membaca apa yang telah ditulis, ia diluar kuasa dan bukan lagi termasuk di bawah tanggungjawab saya.
Secara ringkasnya seperti berikut:
a) Hukum komisyen yang diperolehi oleh ejen insuran konvensional adalah HARAM. Demikian menurut fatwa Majlis Fiqh Antarabangsa dan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan insuran konvensional. Justeru, setiap individu yang menjadi ejen adalah dikira mempromosi benda haram dan mengambil upah atas kerja tidak halal tersebut.
Amat malang juga, apabila saya dapati terdapat sebahagian ejen-ejen Takaful yang meletakkan DUIT sebagai satu-satunya matlamat dan target mereka, menyebabkan dalam masa yang masa mereka SUDI DAN SANGGUP menjadi ejen kepada insuran riba konvensional.
Mereka ini tidak lain, boleh dianggap bermain-main dengan hukum sehingga boleh memberikan pilihan kepada pelanggan sama ada ingin yang halal atau yang haram. Bolehkah diberi pilihan sedemikian?
Allah swt menyebut :-
وَلاَ تَلْبِسُواْ الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُواْ الْحَقَّ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Ertinya : Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui. ( Al-Baqarah : 42)
Adapun, komisyen bagi ejen-ejen Takaful dan Unit Trust bagi apa yang mereka usahakan sendiri, adalah HALAL.
Namun, bagi ejensi Manager yang memperolehi komsiyen bertingkat atau overriding commission, pandangan saya setakat ini masih sama dengan apa yang saya tuliskan dalam artikel MLM. Iaitu TIDAK DIBENARKAN kecuali apa yang anda usahakan sendiri sahaja. Hasil yang diperolehi secara automatik dari kerja orang bawahan anda tanpa sebarang usaha yang langung direct dari anda, ia adalah TIDAK DIBENARKAN dan jatuh dalam kategori Syubhat. Apapun, saya pulangkan tanggungjawab fatwa komsiyen ini kepada Majlis Shariah Saham Amanah Islam dan Takaful masing-masing untuk membincangkan dengan teliti. Wallahu'alam.
Bagi sesiapa yang kurang jelas maksud overriding commission ia adalah :
# In traditional sales environments, an override is a commission paid to managers on sales made by their subordinates, usually calculated as a percentage of the gross sales commissions earned by the salesperson.
# Similarly, in multi-level marketing, agents receive a commission on sales made by their downline (recruited agents).
b) Hukum komisyen bagi ejen-ejen saham amanah unit trust yang berunsur riba, haram dan tidak diluluskan oleh Majlis Shariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, adalah HARAM secara sepakat ulama.
Komisyen ejen unit trust YANG DILULUS MAJLIS SHARIAH pula adalah halal namun tetakluk pula kepada apa yang dijualnya sendiri sahaja. Ia sama seperti isu ejen Takaful di atas. Wallahu'alam.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
6 Sept 2008
3 - Status Insuran MCIS Zurich : Halal atau Haram?
Oleh : Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Ramai pengguna terkeliru dengan status MCIS Zurich Insurance, ada sebahagian daripada mereka bertanya kepada saya serta bertegas kononnya MCIS adalah halal dari sudut hukum Islam kerana mempunyai penasihat Syariah. Namun demikian, telah saya jelaskan berkali-kali, penasihat Syariah MCIS hanya menjaga bab saham amanah yang diterbitkan oleh syarikat terbabit dan bukannya berautoriti menyemak system insuran MCIS. Ramai juga yang tidak berpuas hati dengan penjelasan saya.
Telah saya jelaskan berkenaan hal ini dalam artikel dan juga respon di ruangan komentar. Buka dan baca pelbagai respond saya berkenaan hal ini dari pelbagai pihak di link .
Malah isu syarikat Insuran Konvensional yang mempunyai beberapa dana pelaburan patuh Syariah ini telah saya tuliskan sebelum ini. Alhamdulillah, kini hasil dedikasi kajian dan usaha seorang sahabat, kini status Insuran MCIS Zurich sama ada ia ia pengendali insuran halal (takaful) atau sebuah insuran konvensional yang beroperasi tanpa menuruti Syariah terjawab.
Berikut adalah jawapan rasmi pihak Bank Negara Malaysia, sebagai respon kepada soalan khusus yang diutarakan oleh seorang yang prihatin.
Ini pula jawapan Bank Negara Malaysia pada 26 Febuari 2009 kepada saya ( iaitu penulis asal info ini bukan UZAR) melalui emel ;
Soalan saya :
>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Saya ingin bertanya :
Agen Company MCIS Zurich Insurance mendakwa company ini mempunyai Panel Syariah. Ada ditunjukkan gambar panel berkenaan pada saya. Dan agen ini mendakwa semua product-product MCIS ini adalah halal. Saya keliru status sebenar sama ada ia benar-benar halal atau sebaliknya. Setahu saya yang ada lesen TAKAFUL sahaja yang halal.
>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
JAWAPAN DARI BANK NEGARA
Kami merujuk e-mel tuan bertarikh 21 Februari 2009 mengenai perkara di atas.
Untuk makluman tuan, MCIS Zurich Insurance (MCIS) didaftarkan dibawah Akta Insurans 1996 dan bukannya dibawah Akta Takaful 1984. Oleh yang demikian, MCIS bukanlah salah satu pengendali takaful yang didaftarkan dibawah Akta Takaful 1984 dan yang dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia untuk memasarkan produk-produk yang berlandarkan shariah.
Kekeliruan terjadi apabila produk yang dipasarkan bertujuan sebagai pelaburan (investment) dan perlindungan (protection). Walaupun bahagian pelaburan produk perkenaan adalah berlandarkan shariah tetapi bahagian perlindungan yang diberikan oleh pengendali insurans tersebut bukanlah berlandaskan shariah, dimana perlindungan yang diberikan masih terdapat unsur-unsur gharar, judi dan riba. Oleh kerana kedua-dua elemen ini berada dalam satu produk, maka, produk ini tidak dikategorikan sebagai produk yang berlandaskan shariah.
Sekian, terima kasih.
Noor Shuhaila Hj Johari
BNMTELELINK
Jabatan Komunikasi Korporat
Bank Negara Malaysia
No Tel : 1-300-88-5465
No Faks : 03-21741515
5 Ramadhan 1429 H
Boleh baca lanjut kajian beliau di web ini .
http://attazkirah.wordpress.com/2009/02/12/mcis-zurich-insurance-halal-atau-haram/
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
16 April 2009
4 - Bolehkah Menggunakan Gelaran Haji dan Hajjah?
Oleh : Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Soalan
Apakah boleh seseorang menuntut dan menggunakan gelaran Haji atau Hajah sesudah pulang dari menunaikan ibadah tersebut. Adakah ia satu kesalahan di dalam Islam kerana tidak pernah digunakan oleh nabi dan para sahabat di zaman ? Jika dibenarkan apakah pula ulasannya Ustaz. Terima kasih
Jawapan
Sebelum ini juga ramai yang bertanya sama ada boleh digunakan gelaran ‘Haji' kepada mereka yang sudah selesai menunaikan haji.
Saya teringat ada seorang kenalan saya, sekitar 10 tahun dahulu memarahi seorang rakannya kerana tidak memanggilnya dengan gelaran tersebut. Bila saya bertanya mengapa sampai begitu sekali?.
Dijawabnya "Ye la, kita dah bertungkus lumus melaksanakan haji, berbelas ribu ringgit habis, jadi hormatlah sikit kita dengan pengiktirafan" demikian tegasnya secara agak emosi.
Saya yakin, para pembaca mempunyai pelbagai reaksi apabila membaca jawapannya. Majoritinya mungkin akan merasa tidak bersetuju sama sekali dengan hujjahnya. Namun itulah hakikat bagi sebahagian besar umat Islam khususnya di Malaysia, mereka cukup ingin serta merasa selesa dan bangga dengan gelaran ‘Haji' sesudah mereka pulang dari mengerjakan ibadah agung tersebut.
Jadi persoalan kita ketika ini, adakah boleh di sisi Islam?
"ada orang baru balik haji, sibuk ingin digelar haji, kalau tak gelar, dia marah, habis rukun Islam yang lain pun lepas ini kena bagi gelaran jugakkah?, jadilah namanya Tuan Haji Umrah Solat Puasa Zakat Ali Bin Abu Bakar" Demikian sindir seorang ustaz sebagai tanda protes tidak setuju disamping ingin membuat buah lawak untuk menghilangkan mengantuk para pendengar ceramahnya.
"Nabi dan sahabatnya tiada yang guna gelaran begitu, ni semuanya mengarut dan bid'ah" tegas seorang ustaz lagi dalam kuliahnya.
Adakah salah untuk menggunakan gelaran Haji di awal nama bagi mereka yang pulang dari menunaikan ibadah besar itu?
Persoalan ini tidak dinafikan lebih kepada sebuah isu kecil, justeru diharap jangan ada sesiapa yang kerananya melakukan dosa menghina, merendah dan menyakiti hati manusia lain. Itu persoalan pookok yang perlu difahami sebelum kita melanjutkan perbincangan.
Menurut pendapat saya, gelaran sebegini bukan sebuah persoalan ibadah khusus yang memerlukan kepada dalil khusus dari amalan Nabi s.a.w, salafussoleh dari kalangan sahabat dan tabien.
Isu gelaran adalah sebuah isu kemasyarakatan dan sosial yang tidak tertakluk kepada dalil-dalil specifik. Ia hanya tertakluk kepada dalil umum yang mengandungi nilai dan asas sama ada untuk mengarah atau melarang.
Dalam hal gelaran, dalil yang menjelaskan prinsip atau displin dalam gelar menggelar boleh diambil dari firman Allah swt seperti yang tercatat di dalam ayat surah al-Hujurat :
وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ بِئْسَ الاِسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ
Ertinya : janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah segala jenis nama panggilan yang berciri kefasiqan selepas kamu beriman ( Al-Hujurat : 11)
Jelas dari ayat di atas, prinsipnya adalah Allah swt melarang untuk umat Islam mengelar saudara seagama dengan apa jua gelaran yang buruk dan menyakitkan hatinya, tidak kira sama ada ia benar atau tidak, selagimana ia dilakukan dengan niat menghina dan menjatuhkan, ia adalah dilarang.
Imam Abu Ja'far At-Tabari mengatakan :
التنابز بالألقاب : هو دعاء المرء صاحبه بما يكرهه من اسم أو صفة ، وعم الله بنهيه ذلك ، ولم يخصص به بعض الألقاب دون بعض ، فغير جائز لأحد من المسلمين أن ينبز أخاه باسم يكرهه ، أو صفة يكرهها
Ertinya : Memanggil dengan gelaran adalah seperti seseorang memanggil saudaranya dengan cara yang dibencinya sama ada (menggunakan) nama tertentu atau sifat. Dan larangan Allah swt itu umum tanpa sebarang pengkhususan kepda satu jenis gelaran tanpa yang lain, maka oleh itu, TIDAK HARUS (haram) bagi seorang Muslim untuk memanggil saudaranya sama ada dengan nama atau sifat yang dibencinya. ( Jami' al-Bayan, 22/29)
Justeru di dalam Islam budaya gelar mengelar dengan gelaran buruk ini bukanlah tindakan yang benar, malah ia terkeji dan hanya menjadi mainan individu yang dipimpin oleh emosi. Jangan sesekali mudah memulakan gelaran seperti 'Ulama Mee Segera', 'Si bodoh', ‘Umngok', ‘Munafiq' dan lain-lain. Walau apapun sebab dan latar belakang kemarahannya, cara menggelar sebegini bukan caranya. Terdapat begitu banyak cara bahasa lain yang lebih sesuai untuk menegur seseorang.
Ia hanya akan memburukkan keadaan dan seterusnya menjatuhkan maruah si penggelar sahaja bukan mereka yang digelar. Tiada kebaikan yang boleh tersebar darinya kecuali kepuasan peribadi pihak mengggelar kononnya untuk menegakkan yang hak tetapi sebenarnya hanya memuaskan nafsu amarah masing-masing sahaja.
Islam melarang menggelarkan seseorang dengan sebarang gelaran buruk, dilarang juga mengkafirkan seseorang tanpa kejelasan yang putus atau kelak kekafiran dan gelaran itu akan kembali kepada dirinya sendiri. Seluruh gelaran buruk yang dicipta juga akan kembali kepada di penggelar.
Namun demikian, terdapat PENGECUALIAN sekiranya sesuatu gelaran dibuat bagi keadaan tertentu seperti untuk membezakan di antara individu maka digelarkan dengan sifat atau nama yang sesuai bagi fizikalnya, sedangkan gelaran itu adalah buruk, namun panggilan itu dibuat bukan untuk menghina dan merendah, ia hanya diniat untuk memberi kenal kepada mereka yang bertanya. Tatkala itu ia dibenarkan,
Demikian juga, jika terdapat maslahat yang lebih besar untuk dijagai, seperti bpara ulama menggelarkan beberapa perawi sebagai ‘kazzab' atau banyak berbohong bagi menjaga ketulenan sesebuah hadis. Namun ia bukanlah disebarluaskan kepada masyarakat awam, hal sedemikian hanya akan diketahui oleh golongan ulama dari kalangan penkgaji hadis dan perawinya sahaja. Ringkasnya semuanya masih tertakluk kepada adab-adab dan displinnya.
GELARAN BAIK SEPERTI TUAN HAJI?
Gelaran buruk dengan tujuan merendah dan menghina, tanpa khilaf lagi ia dilarang, maka jelas GELARAN BAIK ADALAH dibenarkan dalam Islam selagi tidak bercanggah dengan aqidah seperti menggelar seseorang dengan gelaran yang mengangkatnya ke darjat Tuhan atau Rasul.
Keharusan ini boleh dilihat dalam keharusan menggunakan gelaran Sayyid bagi Nabi Muhammad s.a.w dan juga para sahabat baginda nabi s.a.w.
Penggunaannya kepada selain Nabi s.a.w tidak disepakati oleh para ulama, ada yang menegah kecuali bagi pemimpin kaum iaitu di atas kapasitinya sebagai pemimpin atau ketua kepada kaum tersebut.
Namun demikian, gelaran ‘sayyiduna' yang beerti tuan kami, dibenarkan oleh sebahagian ulama untuk digunakan sama ada untuk baginda Nabi s.a.w dan juga tokoh-tokoh pimpinan yang lain, berdasarkan beberapa dalil (namun tulisan ini tidak akan membincangkan perihal kukuh atau tidaknya dalil yang dipetik). Antaranya Firman Allah :-
فَنَادَتْهُ المَلائِكَةُ وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي فِي المِحْرَابِ أَنَّ اللَّهَ يُبَشِّرُكَ بِيَحْيَى مُصَدِّقاً بِكَلِمَةٍ مِّنَ اللَّهِ وَسَيِّداً وَحَصُوراً وَنَبِياًّ مِّنَ الصَّالِحِينَ
Ertinya : Kemudian Malaikat (Jibril) memanggil Zakaria, sedang ia tengah berdiri melakukan salat di mihrab (katanya): ""Sesungguhnya Allah menggembirakan kamu dengan kelahiran (seorang putramu) Yahya, yang membenarkan kalimat (yang datang) dari Allah, menjadi tuan, menahan diri (dari hawa nafsu) dan seorang Nabi termasuk keturunan orang-orang saleh. ( Al-Imran : 39)
Imam al-Qurtubi mengulas katanya :-
ففيه دلالة على جواز تسمية الإنسان سيدًا ، كما يجوز أن يُسمِّى عزيزًا أو كريمًا
Ertinya : Pada ayat itu suatu dalil berkenaan keharusan menamakan seseorang sebagai sayyid (tuan), sebagaimana harus untuk digelar yang mulia (Jami' ahkam al-Quran)
Nabi s.a.w juga pernah bersabda :
ابني هذا سيد ولعل الله أن يصلح به بين فئتين من المسلمين
Ertinya : Sesungguhnya anakku (cucu) ini adalah sayyid (tuan) dan moga-moga melaluinya Allah akan memperdamaikan dua puak dari kalangan muslimin ( Riwayat Al-Bukhari)
Hasil dari petikan dalil di atas, malah banyak lagi dalil lain, MAJORITI ulama membenarkan untuk menggunakan gelaran Sayyidina kepada baginda Nabi s.a.w dan SEBAHAGIAN ULAMA PULA juga mengizinkannya untuk digunapakai kepada mereka selain Nabi s.a.w. Dengan syarat asalkan kita mengetahui batasan penghormatan, sebagaimana yang dituntut oleh Nabi SENDIRI.
أن ناسا قالوا: يا رسول الله، يا خيرنا وابن خيرنا، وسيدنا وابن سيدنا. فقال: يا أيها الناس، قولوا بقولكم، ولا يستهوينكم الشيطان، أنا محمد عبد الله ورسوله، ما أحب أن ترفعوني فوق منزلتي التي أنزلني الله عز وجل
Ertinya : Orang ramai berkata : wahai Rasulullah, wahai yang terpilih dan anak yang terpilih, tuan kami dan anak kepada tuan. Baginda membalas : Wahai manusia, kamu berkata dengan perkataan kamu, namun jangan sampai kamu diselewengkan oleh Syaitan, aku adalah Muhammad, Hamba Allah dan RasulNya, tiadalah aku sukai kamu mengangkat darjatku melebihi daripada darjat yang diberikan oleh Allah kepadaku ( Riwayat Abu Daud: sanad yang baik)
Jika gelaran ‘Sayyiduna' yang kontroversi di kalangan ulama Islam itu pun masih diharuskan menurut sebahagian ulama, sebahagian lain mengatakannya sebagai makruh kerana hadis di atas. Kita memahami gelaran sedemikian memerlukan sedikit hati-hati agar tidak melampau sehingga terjebak dalam kes pengikut Kristian yang mengganggap Nabi Isa sebagai anak tuhan akibat berlebhan dalam menggagungkannya.
Maka tentunya tiada sebarang halangan di dalam Islam untuk gelaran-gelaran biasa yang kurang kontroversi seperti gelaran Tuan haji, Ustaz, Dr, Dato', Syeikh, Profesor, Tok Guru, Imam, Hujjatul Islam, Syeikhul Islam dan apa jua gelaran yang baik lagi disukai dan baik untuk digunakan sebagai penghargaan, pujian, doa dan pengiktirafan.
Isu sama ada gelaran itu akan mendatangkan rasa riyak, takbur dan ujub adalah persoalan kedua. Hal ini mempunyai sedikit persamaan dengan isu memuji seseorang di hadapannya. BOLEH DIBACA DI SINI .
Kesimpulannya, jika diketahui pujian itu akan memusnahkannya, maka janganlah dilakukannya. Maka larangan adalah disebabkan hal luaran yang mendatang dan bukannya pada pujian itu sendiri. Demikian juga gelaran Tuan Haji, Sayyid dan sepertinya.
Oleh itu, jika kita memanggil seseorang dengan gelaran Tuan Haji, dan ia menyukakan tuan tubuh, malah dapat mengingatkannya dengan ibadah agung yang pernah dia bertungkus lumus melakukannya, mengingatkannya kepada Allah swt dan baitullah al-haram serta boleh mengekalkan momentum keinsafannya. Maka sudah tentu ia tidak dilarang di dalam Islam malah digalakkan.
ADAT DAN HORMAT
Apatah lagi apabila ia sudah menjadi adat di sesebuah kawasan untuk menggunakan nama panggilan yang baik tersebut.
Adakalanya, gelaran ‘Haji' juga digunakan hanya kerana tiada gelaran lain yang sesuai untuk seseorang untuk menunjukkan hormat kita kepadanya.
Saya pernah mempunyai beberapa kenalan jutawan veteran yang amat rapat dengan saya, walaupun mereka adalah jutawan, hartawan, pengasas dan ketua kepada syarikat masing-masing, namun mereka belum menerima anugerah Dato', mereka juga bukan pemegang PhD.
Justeru gelaran apakah yang paling sesuai untuk memanggilnya disamping menunjukkan penghormatan kita kepada umurnya ?
Tatkala itu saya hilang idea, hanya gelaran ‘Tuan Haji' saya kira paling sesuai setiap kali berhuung dengan beliau. Gelaran pak cik tidak sesuai, gelaran syeikh kurang sesuai orang perwatakan sepertinya, abang juga tidak sesuai, akhi juga tidak sesuai, awak juga tidak, enta pun tidak sesuai. Pernahkah anda mengalami situasi seperti itu?
Kita sedar, kesan buruk juga boleh berganda apabila seorang yang digelar ‘tuan haji' dan ‘puan hajah' melakukan maksiat dan dosa secara terangan. Lebih mendukacitakan apabila kesnya melibatkan tangkapan kahlwat, zina, pecah amanah dan lain-lain yang biasnaya tersiar di dada akhbar. Namun demikianhal itu tidak menjadikan penggunaan gelaran ‘Haji' dan Hajah' sebagai haram.
AKHIRNYA
Walaupun harus mendapat atau menggunakan gelaran ‘Haji', amat perlu disedari pemergian menunaikan rukun Islam kelima itu bukanlah kerana gelaran dan tidak wajar menjadi marah jika tidak diberikan oleh manusia. Bukankah pandangan Allah yang menjadi sasaran ke sana.
Kemarahan seseorang akibat tidak digelar Haji sesudah pulangnya, boleh menjadi satu indikasi negatif kepada status Haji si polan sama ada ia tergolong di dalam Haji yang Mabrur atau tidak. Pastinya mereka yang mensasarkan haji mabrur tidak akan berasa apa-apa dengan gelaran tersebut, malah tidak ambil pusing dan endah diberikan kepadanya atau tidak. Maka itulah yang terbaik..moga kita semua memperolehi Haji Mabrur..Semua gelaran tidak memberi manfaat kepada alam akhirat kita, semua akan ditinggalkan di dunia yang fana ini, yang kekal dan mengikuti kita adalah kecantikan amal itu, bukan gelarannya.
Allahu akbar Allahu akbar Allahu akbar walillahil Hamd
Salam Eidil Adha buat semua umat Islam di seluruh dunia. Jangan lupa berpuasa sunat hari ini bagi mereka yang tidak berada di Arafah.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
9 Zulhijjah 1430 H
26 Nov 2009
Tuesday, January 26, 2010
Subscribe to:
Comments (Atom)